Sunday, August 12, 2012

SUKA DUIT atau TERLEBIH SUKA?

Aku jadi teringat pada status seorang sahabat di Facebook.
Sahabat ku ini adalah kawan sekolah ku dan ku kira, semasa batch kami, dialah antara pelajar perempuan yang paling cantik. 

Kebelakangan ini aku melihat sahabat ku itu rancak memasarkan perniagaan terbarunya dan menunjukkan ghairahnya berkenaan duit, duit dan duit dan sampai satu hari aku merasakan statusnya itu agak menakutkan aku bilamana ianya berbunyi pada awalnya begini : I LOVE MONEY, di tengahnya menerangkan peri pentingnya duit dalam dunia hari ini sehingga pada ayat akhirnya berbunyi begini : "Sampai saat kita mati pun, masih perlukan duit untuk membeli kain kapan".

Maka ku rasakan sahabat ini sudah terlalu obses dengan duit maka aku menegurnya secara ringkas; "Instead of love money, love HIM even more".

Dia mengakui dan tapi masih menerangkan bahawa pendiriannya adalah benar sehingga menjadikan salah satu punca manusia tidak khusyu' solat adalah kerana hutang keliling pinggang & kekurangan duit.

Kemudian dia bertanya pada aku; "Awak boleh hidup tanpa duit?".

Lama aku diam kemudian aku menjawab; "Boleh. Atau saya harus bunuh diri jika tidak punya duit?"

Dia beristighfar panjang dan menyatakan bahawa hukumnya adalah berdosa besar membunuh diri dalam Islam.

Nah...aku lega..dia menidakkan hujahnya sendiri. 

Jika Allah telah menetapkan bahawa dosa besar membunuh diri, maka sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, jika hambanya sedhaif bagaimanapun selagi hamba itu merasa dia punya Tuhan dan berTuhan, hamba itu pasti boleh hidup walau tanpa duit.

Kerana hamba itu punya Tuhan, percaya pada Qada' dan Qadar Allah pasti akan sentiasa berusaha semasa didunia untuk negeri akhirat.

Wahai diri ku dan sahabatku, jangan terpedaya dengan permainan dunia.

Sekaligus aku teringat petikan ayat dari buku "Selasa bersama Morrie/ Tuesdays with Morrie" yang lebih kurang begini: "Setiap masyarakat ada masalah mereka tersendiri. Cara mengatasinya bukan lari daripadanya. Kamu terpaksa berusaha membentuk budaya kamu sendiri".