Monday, March 18, 2013

Back to real.

Alhamdulillah..selamat mendarat di bumi Malaysia lebih kurang jam 7 pagi dan sampai Pasir Gudang lebih kurang masuk waktu Zohor-18 Mac 2013

Imbas kembali: 

1) Pada 17 Mac 2013, 9.00-10.30 pagi di Mekah untuk buat tawaf wida'.
Masa ni ramai yang mengalir air mata termasuk jemaah lelaki sebab nak tinggalkan Tanah Haram. 
Perasaan aku sendiri, tak rasa sedih dan gembira pun tak. Neutral.

2) Masa nak naik bas untuk gerak ke Jeddah Airport, aku masih rasa neutral.

3) Dalam perut pesawat, masih juga sama.

4) Sampai KLIA 18 Mac 2013, masa orang tengah sibuk-sibuk pasal bagasi, aku masih juga berperasaan yang sama.

5) Setibanya di tanah Johor, baru aku tersentak dari lena. Saat itu seakan rasa terpaksa bangkit dari mimpi yang indah dan berhadapan dengan realiti. 

Empat situasi diatas;
1) Aku masih dapat melihat Masjidil Haram, maka mimpi indah masih berjalan.
2) Masih berada di bumi Mekah, maka mimpi indah itu masih di awangan.
3) Di kelilingi oleh tetamu-tetamu Allah, aku masih lagi merasakan dekat dengan Mekah dan Madinah.
4) Masih dikelilingi oleh tetamu-tetamu Allah, merasakan mimpi belum perlu berakhir.

Akhirnya empangan air mata pecah dan tumpah juga saat tiba di bumi Johor. Madinah sudah jauh, Kaabah sudah tidak ada di depan mata. Harus juga bangkit dan lepaskan mimpi indah itu.

Apabila teringat doa Imam Zaini semasa berada di bumi Mekah, airmata tumpah lagi.

"Ya Allah, apabila ditakdirkan kami selamat pulang ke tanah air, kami akan di uji dan berhadapan dengan perkara-perkara yang maksiat, kawan-kawan yang mendorong ke arah maksiat, makan minum yang mengundang maksiat, maka Ya Allah..Engkau lindungilah dan kuatkanlah hati-hati kami, Ya Allah..Engkau kuatkanlah iman-iman kami. Jadikanlah kami contoh tauladan yang baik kepada ahli keluarga, rakan-rakan kami & masyarakat sekeliling."

Walaupun Madinah & Makkah ada ujiannya yang berbeza, rasa tenang bumi barakah dan penuh rahmat itu tidak sama seperti di tanah air. Kerana itu airmata tumpah mengenang cabaran yang bakal dilalui lagi saat pulang ke tanahair. Berada di dua tanah haram itu saat damai walau disulami ujian, kerana itu aku merasakan seperti mimpi yang saat indah. 

Seakan sukar untuk melepaskan mimpi itu. Moga aku, kami, kamu dan mereka kuat.
Moga dapat dijejaki kembali mimpi tu dengan izin Pemiliknya.


Moga damai itu tidak hilang. Moga cinta teragung dapat mengatasi segala cinta yang lain.

No comments:

Post a Comment